Tuesday, January 2, 2018

7 Jenis Kpeintaran Pada Manusia


Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada anda semua. Hari ini saya berkongsi jenis-jenis kepintaran yang merujuk kepada umat manusia khususnya. Manusia yang kompleks serta mempunyai IQ dapat membezakan di mana yang baik atau yang buruk serta kesannya jika melakukan yang sedemikian. Itulah yang membezakan tingkat atau darjat manusia dengan haiwan. Tahukah anda? Howard Earl Gardner (gambar disebelah kiri), berbangsa Amerika yang merupakan seorang profesor psikologi di Universiti Harvard yang paling berpengaruh dalam bidangnya telah menjadi popular apabila mengutarakan teorinya yang mengatakan manusia memiliki tujuh jenis kepintaran yang ada pada setiap jiwa. Jenis-jenis kepintaran manusia itu adalah seperti berikut:-

  1. Kepintaran Bahasa
Orang-orang yang memiliki kepintaran ini pandai bersajak, berpantun, berpuisi, bersyarah, mengarang dan mempunyai perbendaharaan kata yang banyak. Kepintaran jenis ini dimiliki oleh orang yang mengeluarkan kata-kata yang mampu membuat individu lain menjadi terkesima iaitu juruhebah, peguambela, ahli politik, sasterawan, pelawak, pemidato, penulis iklan, penulis skrip drama, dan seumpamanya.

Bagi para ibubapa yang baru memiliki anak, cara untuk menngetahui sama ada seseorang anak itu memiliki kepintaran ini, cara yang paling mudah untuk mengetahui kepintaran ini ialah dengan menyuruh kanak-kanak itu bercerita. Ibubapa memulakan cerita dengan kisah apa yang yang disukai seterusnya menyuruh kanak-kanak itu menyambung cerita itu kembali. Perhatikan sama ada kanak-kanak itu pandai memilih perbendaharaan kata, pandai mengolah susunan ayat, mencipta  perkataan yang menarik hati dan sebagainya. Ada kanak-kanak yang tidak minat bercerita dan bercakap tetapi dapat membuat laporan dan karangan yang baik. Mungkin kanak-kanak itu boleh menjadi wartawan dan mengarang buku pengetahuan apabila besar kelak.

2. Matematik dan Logik
    
    Kepintaran ini dimiliki oleh ahli-ahli sains, pakar matematik dan komputer, jurutera, akauntan, juruaudit dan lain-lain pakar yang memerlukan pemikiran logikal dalam bidang mereka. Ujian-ujian kepintaran yang tradisional ini sangat mengutamakan kepintaran jenis ini.


3. Kepintaran Muzik

    Orang-orang yang memiliki kepintaran ini sangat berminat pada bunyi-bunyian. Mereka sangat pandai mencipta muzik, lirik lagu dan bermain pelbagai alat-alat muzik. Mereka tajam telinga dan mampu mengenal pasti pelbagai jenis bunyi apabila ia dimainkan.


4. Kepintaran Ruang

    Mereka ini memiliki kepintaran yang boleh menjadi juruterbang, pengukir, jurubina dan mencipta pelbagai jenis ciptaan. Ada jenis kepakaran sains yang memerlukan kepintaran jenis ini. Albert Einstein menemui teori relativiti dengan menggunakan kepintaran ini. Kanak-kanak yang memiliki kepintaran ini seawal 5 tahun pandai membuat binaan-binaan daripada blok-blok. Mereka pandai membayangkan jenis rupa sesuatu benda daripada pelbagai sudut. Kepintaran inilah yang dimiliki oleh orang-orang yang pandai membuka dan memasang semula benda-benda mekanikal. Ramai kanak-kanak yang kurang pintar belajar pelajaran sekolah sangat cekap membetulkan benda-benda yang rosak.


5. Kepintaran Gerak Badan

    Kepintaran ini dimiliki oleh para olahraga atau ahli sukan, tarian sarkas dan lain-lain kerjaya yang menggunakan badan. Pakar-pakar bedah, pakar-pakar kraftangan dan pelakon sangat memerlukan kepintaran ini dalam menjalankan aktiviti mereka.


6. Kepintaran Interpersonal

    Ujian-ujian kepintaran tradisional tidak mengiktiraf kepintaran jenis ini. Menurut Howard Gardner, ujian-ujian tersebut tidak memasukkan kepintaran interpersonal kerana ujian-ujian tersebut dicpta oleh tokoh-tokoh yang suka berfikir sendirian. Mereka yang memiliki kepintaran ini termasuklah para peniaga, kaunselor, guru, ahli politik, para pendakwah, jurujual dan penghibur. Mereka cekap memahami sifat manusia lain dan juga pandai memimpin, mempengaruhi dan bekerjasama dengan orang-orang lain. Kanak-kanak yang memiliki kepintaran ini mempunyai ramai kawan dan pandai bergaul atau menyesuaikan diri dengan orang dewasa. Mereka suka bekerja dalam kumpulan dan dapat merasakan apa yang orang lain rasa. Dalam erti kata lain. mereka sangat pandai membaca dan meneliti menerusi wajah peribadi seseorang.


7. Kepintaran Intrapersonal

    Kepintaran ini membolehkan seseorang memahami dirinya sendiri serta tahu akan keistimewaan dan kekurangan yang ada pada dirinya. Dia tahu apa yang diminatinya dan apa yang dibencinya dan dia tahu apa yang mendorong perilaku dan tindak-tanduknya. Jenis kepintaran ini digunakan sebagai asas prinsip-prinsip hidup seseorang, displin diri dan sumber ketabahan, kecekalan dan semangat perjuangan. Kepintaran ini menghasilkan apa yang disebut sifat bijaksana. Mereka yang  memiliki kepintaran ini membuat keputusan dan tindakan berdasarkan kepada kesedaran akan siapa diri mereka yang sebenarnya.


Ramai orang yang memiliki IQ yang tinggi tetapi tidak bijaksana kerana mereka tidak memiliki kepintaran jenis ini. Oleh itu, mereka membuat tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan yang merugikan diri mereka sendiri. 

Sunday, December 6, 2015

Menara Galata

Pendahuluan dan Sejarah Pembinaannya

Inilah Menara Galata atau Galata Külesi dalam bahasa Turkinya yang terletak di utara Golden Horn, di bahagian Eropah yang menyimpan 1001 sejarah pahit manis daripada mula pembinaannya sehinggalah ia dibuka untuk pelawat bagi kunjungan dari serata dunia dan menjadi mercu tanda bersejarah di Turki. Ia adalah sebuah menara batu paling tinggi di Kota Konstantine pada masa itu semasa pemerintahan Maharaja Byzantine Rom Timur yang dibina oleh Genoese mengikut Romanesque stail pada tahun 1348 atau abad ke 14. Tetapi tiada tarikh yang tepat pada tahun bilakah menara ini dibina. Walaupun tiada tarikh yang tepat bilakah ia dibina, ahli sejarawan mendakwa bahawa ia dibina pada tahun 507 pada zaman pemerintahan Maharaja Rom. Sebenarnya Menara Galata ini merupakan menara kedua yang dibina oleh Genoese yang terletak di Karaköy, Istanbul yang diberi gelaran iaitu Tower of Christ, Tower of Jesus atau Menara Kristus. Menara Galata yang pertama dibina oleh Megalos Pyrgos tetapi dibina di lokasi yang berbeza iaitu lebih dekat dengan laluan laut Selat Bosphorus. Akan tetapi, ia musnah semasa peperangan Sack of Cosntantinople oleh tentera Salib Latin semasa Perang Salib yang keempat pada tahun 1202-1204. Ia diberi gelaran Great Tower atau Menara Yang Hebat. Maksud Galata adalah berasal daripada perkataan Greek atau Yunani yang membawa maksud susu. Ia disebabkan di kawasan daerah menara tersebut terdapat banyak tenusu yang ada disitu. Tetapi, tidak ada bukti atau sejarah yang tepat mengenai nama tersebut. Mneurut sumber lain, ia datang daripada perkataan Itali iaitu 'Calata' atau jalan turun ke laut. Mungkin kerana menara ini dibina di kawasan cerun di antara kawasan pantai Haliç dan Turyol.


Fungsi

Setelah menara yang berukuran 219½ atau 66.9 meter ini telah siap dibina, ia digunakan untuk mengawasi pelabuhan di Kota Konstantine melalui tingkat atas menara tersebut bagi mengawasi setiap aktiviti keluar masuk kapal-kapal berlabuh di pelabuhan melalui pintu masuk Golden Horn. Selain daripada itu, menara ini berfungsi sebagai menara kawalan tinjau untuk mempertahankan kota bagi serangan musuh dari luar kota Konstantine yang ingin menceroboh masuk di dalam kota. Setelah kota Konstantine jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fatih semasa peristiwa penaklukan Konstantine, menara tersebut telah menjadi hak milik sepenuhnya oleh empayar Othmaniah.


Zaman Othmaniah


Semasa pemerintahan kerajaan Othmaniah, menara ini telah mengalami beberapa pengubahsuaian bagi mengukuhkan lagi keadaan menara tersebut. Pada tahun 1509, menara ini telah mengalami kerosakan yang teruk semasa kejadian gempa bumi berlaku dan telah dibaiki dan diperbaharui semula oleh Hayrettin, seorang arkitek yang sangat terkenal pada zaman Othmaniah. Menara ini juga digunakan sebagai dek pemerhatian atau menara kawalan bagi mengawasi aktiviti kebakaran yang berlaku di Kota Islambol(nama lama Istanbul) pada masa itu. Semasa Sultan Sulaiman al-Qonuni memerintah pada tahun 1520 sehinggalah 1566, ia telah digunakan sebagai penjara bagi banduan yang dijatuhkan hukuman bekerja di Kasimpaşa Naval Dockyard. Takıyeddin Efendi telah menubuhkan sebuah balai cerap di puncak menara pada akhir abad ke 16 dan berfungsi dalam masa tempoh tertentu sahaja. Kemudian, ia telah ditutup sementara dan dibuka semula Sultan Murad III yang memerintah dari tahun 1574 sehinggalah 1595 untuk dijadikan penjara sekali lagi oleh beliau.



Kisah Hezârfen Ahmet Çelebi

Pada abad ke 17, beliau merupakan orang Turki yang pertama melaksanakan penerbangan dengan mengambil konsep kepak burung untuk dijadikan sayap dan mengkaji kelajuan aliran angin untuk terbang dengan menggunakan sayap. Beliau terjun dari tingkat atas menara dan terbang merentasi laluan Selat Bosphorus sehinggalah mendarat di dataran Üsküdar yang terletak di bahagian Asia sepanjang 6 kilometer jarak jauhnya. Rentetan daripada peristiwa tersebut, orang ramai teruja dengan kejayaan Ahmet Çelebi ini termasuklah Sultan Murad IV  sendiri. Akan tetapi, perasaan hasad dengki dan cemburu itu sentiasa mendiami di dalam hati manusia. Para pembesar telah menghasut Sultan Murad IV  dengan mengatakan bahawa Ahmet Çelebi seorang lelaki yang menakutkan. Beliau mampu melakukan apa-apa untuk menggugatkan kekuasaan Sultan Murad IV. Jadi, beliau diberikan seguni syiling dinar emas dan dihalau keluar dari bumi İstanbul. Beliau telah membawa diri ke Algeria dan mengakhiri riwayatnya di sana. Menurut sumber lain, beliau membawa diri ke Syria dan mati di sana.



Kecelakaan Yang Dahsyat


Pada tahun 1794 pada zaman pemerintahan Sultan Selim III, bumbung menara telah dibina daripada kayu dan timah  tersebut sekali musnah dalam kebakaran. Dan sekali lagi, menara tersebut telah mengalami kebakaran setelah selesai kerja-kerja pemulihan berlaku pada tahun 1831. Selepas kejadian yang menimpa menara Galata, Sultan Mahmut II telah menambah dua tingkat pada menara itu dan ditutup dengan kain dalam bentuk topi kon

Kuasa Allah s.w.t. menguasai segala-galanya. Ujian yang hebat menimpa bagi masyarakat setempat di situ. Tahun 1875, kejadian cuaca ribut yang sangat dahsyat telah berlaku dan memusnahkan bumbung menara tersebut. Oleh kerana sering mengalami kerosakan pada bumbung menara, ia tidak diletakkan lagi bumbung menara yang berbentuk kon untuk sepanjang zaman.





Melangkaui Zaman

Empayar Othmaniah telah berakhir pada 3 Mac 1924 yang mana suatu ketika dahulu pernah mejadi tempat rujukan umat Islam di dunia dan menaungi 2/3 dunia telah digantikan kerajaan republik yang diasaskan oleh Mustafa Kemal Paşa atau dikenali sebagai Atatürk, Bapa Kemerdekaan Turki menurut rakyatnya. Kerajaan yang diasaskan bermula daripada zaman Rasulullah s.a.w. sehingga kerajaan Othmaniah telah telah jatuh angkara musuh-musuh yang sentiasa membenci Islam sejak dahula kala lagi sejak 1400 tahun dahulu. Semasa diambang era kekalahan Othmaniah, menara Galata pernah menjadi pos kawalan oleh tentera British setelah Perang Dunia Pertama berlaku.


Menara Galata telah mengalami kerja-kerja pengubahsaian yang dilakukan oleh syarikat swasta setelah sekian lama ia tidak dibaiki pada tahun 1965-1967 dan bentuk kon diatas menara dikembalikan semula pada bentuk asalnya dan dibuka untuk orang ramai selepas berakhirnya kerja pemulihan pada tahun 2013. Menara ini menempatkan kafeteria, kelab malam tertutup, dapur dan sebagainya. Di atas menara anda boleh melihat keindahan dan panorama di sekitar kota Istanbul serta keindahan laluan Selat Bosphorus. Anda tidak perlu risau dan khuatir jika tidak larat untuk menaiki tangga menara ini kerana ada lif yang telah disediakan untuk memudahkan orang ramai menaikinya. Tetapi lif hanyalah sampai di tingkat tujuh sahaja dan dua tingkat terakhir menara itu anda perlu melalui tangga yang disediakan untuk sampai ke puncak atas menara tersebut.


Pemandangan Menara Galata di tengah kepesatan bangunan sekarang boleh
dilihat dari atas jambatan Galata atau Galata Köprüsü dalam bahasa Turki


Sumber:

1. Lost Islamic History
2. History of Istanbul 
3. Wikipedia
4. Turkey For You
5. Great Istanbul

Monday, September 7, 2015

Ambil Menyesal, Tidak Ambil Juga Menyesal

Dikisahkan pada suatu hari, nabi Khaidir a.s telah mengumpulkan para pengikutnya untuk melakukan satu perjalanan yang agak panjang dalam sebuah gua. Sebelum melakukan perjalanan itu, baginda telah berpesan kepada para pengikutnya, mereka boleh mengambil apa saja yang ada dalam gua itu atau boleh juga tidak mengambilnya.

Namun, baginda dengan tegas mengingatkan kepada pengikutnya, mereka akan berasa menyesal sama ada mengambilnya mahupun tidak mengambilnya. Para pengikut nabi Khaidir menjadi bingung, hairan dan bertanya kepada nabi Khaidir apakah makna di sebalik peringatan itu. Namun ujar baginda, ''Nanti kamu akan tahu selepas kita keluar dari gua tersebut.''

Sampainya mereka di pintu gua, sekali lagi baginda mengingatkan pengikutnya apa yang telah dipesannya  sebelum ini. Maka mereka pun meneruskan perjalanan dalam gua yang gelap itu sehingga sampai ke penghujung gua. Selepas keluar dari mulut gua, segera nabi Khaidir berteriak, ''Sesiapa yang telah mengambil apa-apa sahaja dalam gua, sila tunjukkan kepadaku''.

Sebahagian pengikut yang telah mengambil sesuatu di dalam gua, merasakan mereka hanya mengambil batu-batu kerikil kecil dari gua sahaja. Tetapi rupanya apa yang diambil oleh mereka adalah emas. Terkejut mereka dan mereka merasa kecewa sekali kerana tidak mengambil lebih banyak.

Sementara itu, sebahagian lagi para pengikut yang tidak mengambil sesuatu pun ketika melalui laluan gua itu bertambah kecewa. Apatah lagi melihat rakan mereka yang lain mempunyai emas. Sesudah itu, maka bersuaralah nabi Khaidir, ''Bahawa kelak semua umat manusia di muka bumi ini akan menyesal, baik mereka beriman mahupun yang tidak beriman kepada Allah s.w.t.''.

Lantaran rasa pelik, pengikut nabi Khaidir bersuara, ''Apa maksudmu wahai nabi Allah?'' Jawab nabi Khaidir, ''Hal ini kerana bagi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah, semuanya merasakan sangat berkurang amal-amal kebaikan yang telah dilakukannya di dunia ini, baik itu amal ibadah atau amal kebaikan lain yang telah dibuat selama di dunia ini. 

Sedangkan bagi orang yang tidak beriman, mereka bertambah-tambah lagi menyesal kerana selama mana mereka hidup , penglihatan, pendengaran akal serta ilmu yang dimilikinya tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t., beriman dan taat kepada Allah. Maka samalah kamu dengan golongan seperti ini.''

Wednesday, April 30, 2014

Buah Buahan Dalam Al-Quran


''Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya''.

                                                   ~Surah al-Baqarah:172(2)~


 Itulah petikan ayat al-Quran daripada surah al-Baqarah ayat 172. Ayat ini menjelaskan kepada manusia khususnya orang yang beriman yakni percaya kepada Allah s.w.t., para rasul-rasul, para malaikat, kita al-Quran, hari Kiamat dan qada' serta qadar supaya mencari makanan yang baik untuk dimakan agar kesihatan kita terpelihara daripada penyakit yang tidak diingini berlaku serta halal. Allah s.w.t. juga telah memberikan rezeki yang sangat banyak kepada kita terutamanya dalam bab makanan di atas muka bumi ini. Allah s.w.t. juga menyuruh kita agar bersyukur kepadaNya kerana Dia telah memberikan segala-galanya untuk kesenangan kita. Sebagai balasannya, Allah s.w.t. cuma ingin kita bersyukur serta patuh pada perintahnya. Jadi, beza orang yang beriman dan orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t. adalah bersyukur dan patuh pada perintahNya. Kita sebagai manusia yang dilahirkan dalam Islam seharusnya bersyukur dengan nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita. Dalam bab makanan khususnya buah buahan, Allah s.w.t. telah mencipta pelbagai aneka, rupa bentuk, rasa, warna dan saiz buah itu sendiri. Dalam setiap buah-buahan yang Allah s.w.t. ciptakan, terdapat pelbagai jenis kandungan vitamin dan khasiat pada buah itu tersendiri. Dengan khasiat yang terdapat dalam buah buahan itu sendiri, manusia dapat memanfaatkannya seperti kesihatan, kecantikan kulit dan sebagainya. Inilah nikmat yang besar Allah kurniakan kepada kita. Jadi, nikmat apa lagi yang kita dustakan kepada Allah s.w.t.. Oleh itu, mari kita melihat buah buahan yang terdapat dalam al-Quran itu sendiri.





''Dan ingatlah ketika kamu berkata: 'Wahai Musa! Kami tidak tahan hanya makan sejenis makanan sahaja. Maka mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia memberi kami apa yang ditumbuhkan bumi seperti sayuran, mentimun, bawang putih, kacang adas dan bawang merah''.

~Surah al-Baqarah:61(2)
 


''Demi buah tin dan buah zaitun''.

~Surah at-Tin:1(95).


''Kami jadikan padanya di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur. Dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air''.

~Surah Yasin:34(36)



''Dan ingatlah ketika kamu berkata: 'Wahai Musa! Kami tidak tahan hanya makan sejenis makanan sahaja. Maka mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia memberi kami apa yang ditumbuhkan bumi seperti sayuran, mentimun, bawang putih, kacang adas dan bawang merah''.

~Surah al-Baqarah:61(2)
 



''Di sana mereka diberi segelas minuman bercampur halia''

~Surah al-Insan:17(76)



''Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu''.

~Surah Maryam:25(19)



''Dan ingatlah ketika kamu berkata: 'Wahai Musa! Kami tidak tahan hanya makan sejenis makanan sahaja. Maka mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia memberi kami apa yang ditumbuhkan bumi seperti sayuran, mentimun, bawang putih, kacang adas dan bawang merah''.

~Surah al-Baqarah:61(2)



 ''Demi buah tin dan buah zaitun''.

~Surah at-Tin:1(95)

''Di dalam kedua-dua syurga itu ada buah-buahan kurma, dan delima''.

~Surah ar-Rahman:68(55)
 


''Pohon-pohon pisang yang bersusun-susun buahnya''.

~Surah al-Waqiah:29(56)



Inilah dia buah buahan yang telah disebutkan di dalam al-Quran. Mungkin ada lagi beberapa buah buahan yang saya tidak dapat dapat sebutkan di sini. Saya harap dapatlah dimanfaatkan apa yang Allah s.w.t. berikan kepda kita dengan sebaik mungkin.



Friday, April 25, 2014

Tubuh Badan Yang Sihat Datang Daripada Kurniaan Allah s.w.t.

Assalamualaikum w.b.t. kepada anda semua. Semoga diberi kesihatan yang baik serta diberkati rezekinya. Hari ini umat Islam khususnya kita sendiri sangat bertuah kerana diberikan kesihatan yang baik, tubuh badan yang sihat, percakapan yang fasih dan lancar serta berbagai-bagai nikmat lagi yang Allah s.w.t. berikan kepada kita. Tahukah anda? Punca badan kita menjadi sihat dan kuat adalah disebabkan dengan pengambilan makanan yang halal, bersih lagi baik. Apabila badan kita menjadi sihat dan kuat, ,maka mudahlah kita untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Mudah untuk berbakti kepada manusia yang lain. Firman Allah s.w.t.:-

''Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya ia adalah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu''.

                                                                                                                    Surah al-Baqarah:168(2)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah s.w.t. menyarankan kita untuk memakan makanan yang baik lagi halal di sisi Allah s.w.t.. Tidak kira makanan-makanan yang ada di atas muka bumi ini seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijiran, haiwan ternakan dan lain-lain lagi. Allah s.w.t. juga telah melarang kita untuk makan makanan yang haram lagi memudharatkan kesihatan seperti darah, bangkai dan sebagai. Ini jelas dinyatakan dalam surah al-Baqarah:-

''Sesungguhnya Allah mengharamkan kamu memakan bangkai, darah, daging babi, binatang-binatang yang tidak disembelih kerana Allah maka sesiapa yang terpaksa memakannya (kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu) maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani''.

                                                                                                                  Surah al-Baqarah:173(2)

Di samping kita menjamah makanan yang sihat serta diberkati oleh Allah s.w.t., kita juga digalakkan bersenam untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat serta mantap imannya agar tidak terjerumus ke arah gejala yang kurang sihat. Melakukan senaman pada awal pagi sangat digalakkan mengikut pandangan pakar kesihatan kerana pada awal waktu pagi terdapat udara yang bersih dan nyaman ditambah pula dengan sejuknya itu. Tubuh yang sihat dapat menjadikan kita lebih khusyuk beribadah kepada Allah s.w.t. dan berbakti kepada manusia tidak kira agama mahupun bangsa. Antara hikmah yang kita dapat simpulkan ialah di atas muka bumi ini, masih banyak lagi makanan yang halal lagi baik dan janganlah kita mengikuti jejak langkah syaitan kerana di situlah terletak titik awal kemusnahan. Pilihlah makanan yang sihat dan disembelih atas nama Allah s.w.t.. Semoga kita dapat mengambil kebaikan daripadanya.

Sunday, January 26, 2014

Ilmu Silat Yang Hebat

Seorang remaja bertemu seorang guru silat yang warak dan alim orangnya. Dia berkata, ''Tuan Guru, tolong ajarkan saya ilmu persilatan''. Tuan guru itu pun berkata, ''Boleh. Tapi syaratnya kamu harus turut perintahku segala-galanya''. ''Baiklah, saya turuti semua perintah tuan guru,'' kata kembali remaja itu. ''Sekarang juga. Kau pergi ke masjid dan di sana ada ribuan kitab-kitab lama.'' ''Tetapi saya berhajat belajar silat, bukannya belajar ilmu agama,'' bantahnya.

''Bukankah engkau sudah berjanji kepadaku supaya menuruti segala perintahku?'' ''Baiklah, baiklah.'' Maka, tinggallah remaja itu berbulan-bulan lama disitu. Kerjanya hanyalah menyelak helaian demi helaian. Habis satu kitab, diambil dan dibukanya kitab lain. Akhirnya, ribuan kitab telah disemaknya menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya.

Selepas enam bulan lamanya, dia berasa sungguh bosan. Dia masih tidak mendapat peluang belajar ilmu silat walau sedikitpun. Sedangkan kawan-kawannya yang lain kini sudah cekap menumbuk dan menendang. Dia masih terkial-kial menyemak helaian kitab-kitab saban hari.

Kemudian, dia berjumpa dengan tuan gurunya. ''Tuan guru, saya ingin berhenti. Tiada apa pun silat yang saya belajar. Saya ingin pulang.'' ''Tetapi tok sudah pun mengajar kamu silat.'' ''Mengajar? Silat apa? Jangankan menumbuk, pasang kuda-kuda pun saya tidak diajar. ''Pulanglah. Kamu akan faham apa yang tok maksudkan.''

Apabila dia pulang ke kampung, dia berasa berendah diri berbanding kawan-kawannya. Mereka semua sudah mahir belajar ilmu silat. Suatu hari, kawan-kawannya sedang berlatih bersilat di tapak gelanggang, tiba-tiba seorang daripada kawannya jatuh dan tergeliat kakinya. ''Aduh, kaki aku!'' jeritnya dalam kesakitan. Spontan dia memberanikan diri untuk mengurut kaki kawannya itu. Sebaik sahaja dia mula mengurut, tekanan ibu jarinya begitu kuat menyebabkan kaki kawannya melecet dengan teruk dan kakinya yang tergeliat itu terus bengkok seakan-akan patah.

''Aduh! Apa yang engkau buat ini? Sakit! Sakit!'' Dia terkejut. Barulah dia tahu bahawa ibu jarinya mempunyai kuasa yang luar biasa. Kekuatan yang menyamai besi. Rupa-rupanya itulah kekuatan daripada ilmu silat tuan gurunya yang dipindahkan kepada ibu jarinya sewaktu dia disuruh menyemak helaian demi helaian kitab tempoh bulan lalu.

Pengajaran: Ilmu yang tinggi diajar secara berhikmah umpama akar pokok yang bergerak perlahan tetapi dapat menembusi batu dan tanah yang keras. Guru yang ikhlas mengajar dengan rendah diri dan ikhlas kerana Allah s.w.t.

Wednesday, January 15, 2014

Ubat Sakit Mata


Suatu hari Junaid Al Baghdadi telah diserang sakit mata. Lalu dia pergi berjumpa dengan tabib yang beragama Nasrani. Tabib itu pun menasihatinya supaya matanya jangan terkena air. Pada mulanya dia tidak keberatan mengamalkan nasihat tabib itu. Tetapi setelah sampai di rumah dia ingat bahawa setiap kali dia hendak solat mesti kena ada wuduk sedangkan wuduk itu mesti kena pada mukanya.


Dia yakin bahawa Allah yang menjadikan sesuatu penyakit, tentu Allah juga boleh menyembuhkan penyakitnya. Maka tanpa perasan syak dan ragu-ragu dia pun berwuduk dan membasahi mukanya. Selesai solat dia pun tertidur. Ketika sedang tidur, dia bermimpi mendengar satu suara yang aneh,'' Junaid menjadi sembuh matanya kerana lebih yakin dan redha kepadaKu. Seandainya semua penghuni neraka meminta kepadaKu dengan keyakinan serta semangat seperti Junaid, nescaya Aku perkenankan semua permintaan mereka,'' kata suara itu.

Bangun daripada tidur, dia berasa hairan kerana dia mendapati matanya telah sembuh sepenuhnya. Keesokan harinya, dia berjumpa kembali dengan si tabib itu. Ketika melihat Junaid, tabib itu merasa hairan bagaimana mata si Junaid boleh sembuh dengan cepat padahal penyakit itu mengambil masa yang agak lama untuk sembuh. Bertanya tabib kepada Junaid, ''Hai Junaid, mengapa matamu tiba-tiba sahaja jadi baik, sedangkan mengikut pengalamanku matamu ini akan mengambil masa yang lama untuk sembuh?''

Lalu Junaid menjawab, ''Aku hanya berwuduk dengan membasuh muka dan mataku untuk mendirikan solat.'' Setelah melihat peristiwa ajaib tersebut, terkejut tabib yang beragama Nasrani itu. Sungguh tidak disangka dengan berwuduk itu mampu menyembuhkan penyakit. Akhirnya dia menyatakan keinginannya untuk memeluk agama Islam dan mengucapkan dua kalimah syahadah. Katanya, ''Itu adalah ubat daripada Tuhan yang telah menciptakan penyakit. Dia yang memberikan penyakit dan Dia yang meciptakan ubatnya. Aku juga sebenarnya menderita satu penyakit hati iaitu rohani dan Junaidlah yang menjadi tabibnya.''