Wednesday, January 15, 2014

Ubat Sakit Mata


Suatu hari Junaid Al Baghdadi telah diserang sakit mata. Lalu dia pergi berjumpa dengan tabib yang beragama Nasrani. Tabib itu pun menasihatinya supaya matanya jangan terkena air. Pada mulanya dia tidak keberatan mengamalkan nasihat tabib itu. Tetapi setelah sampai di rumah dia ingat bahawa setiap kali dia hendak solat mesti kena ada wuduk sedangkan wuduk itu mesti kena pada mukanya.


Dia yakin bahawa Allah yang menjadikan sesuatu penyakit, tentu Allah juga boleh menyembuhkan penyakitnya. Maka tanpa perasan syak dan ragu-ragu dia pun berwuduk dan membasahi mukanya. Selesai solat dia pun tertidur. Ketika sedang tidur, dia bermimpi mendengar satu suara yang aneh,'' Junaid menjadi sembuh matanya kerana lebih yakin dan redha kepadaKu. Seandainya semua penghuni neraka meminta kepadaKu dengan keyakinan serta semangat seperti Junaid, nescaya Aku perkenankan semua permintaan mereka,'' kata suara itu.

Bangun daripada tidur, dia berasa hairan kerana dia mendapati matanya telah sembuh sepenuhnya. Keesokan harinya, dia berjumpa kembali dengan si tabib itu. Ketika melihat Junaid, tabib itu merasa hairan bagaimana mata si Junaid boleh sembuh dengan cepat padahal penyakit itu mengambil masa yang agak lama untuk sembuh. Bertanya tabib kepada Junaid, ''Hai Junaid, mengapa matamu tiba-tiba sahaja jadi baik, sedangkan mengikut pengalamanku matamu ini akan mengambil masa yang lama untuk sembuh?''

Lalu Junaid menjawab, ''Aku hanya berwuduk dengan membasuh muka dan mataku untuk mendirikan solat.'' Setelah melihat peristiwa ajaib tersebut, terkejut tabib yang beragama Nasrani itu. Sungguh tidak disangka dengan berwuduk itu mampu menyembuhkan penyakit. Akhirnya dia menyatakan keinginannya untuk memeluk agama Islam dan mengucapkan dua kalimah syahadah. Katanya, ''Itu adalah ubat daripada Tuhan yang telah menciptakan penyakit. Dia yang memberikan penyakit dan Dia yang meciptakan ubatnya. Aku juga sebenarnya menderita satu penyakit hati iaitu rohani dan Junaidlah yang menjadi tabibnya.''
 

No comments:

Post a Comment