.jpg)
Di sebuah padang pasir yang panas terik kelihatan dua orang sahabat sedang berjalan. Aisha dan Khadija namanya. Mereka sedang rancak berbual. Itu dan ini. Entah apa yang dibualkan oleh mereka itu.Apabila matahari semakin terik memancarkan sinarnya, tekak mereka pun hampir kering serta haus dan letih.Namun,
dibiarkannya begitu sahaja sehingga bertemu dengan kawasan takungan air kerana mereka sudah kehabisan bekalan air.
Mungkin kerana terlalu penat, perbualan mereka pun mula menyakitkan hati masing-masing. Tiba-tiba, Aisha menampar Khadija kerana terlalu geram dan marah. Langkah positf diambil Khadija mendiamkan dirinya sahaja dan berjalan beriringan tanpa berkata sepatah pun. Tanpa disedari Aisha, Khadija duduk dan menulis sesuatu di atas pasir iaitu ''Hari ini kawan saya telah menampar saya.''
Kemudian, mereka pun meneruskan perjalanan sehingga melalui kawasan oasis. Di situ mereka mengambil keputusan untuk berehat seketika sambil minum dan menyejukkan badan mereka yang letih itu. Khadija yang letih itupun terjun ke oasis untuk mandi, namun tidak pula Aisha yang lebih senang berehat di tebing sambil memerhatikan suasana alam ciptaan Tuhan. Tiba-tiba Khadija menjerit-jerit kerana tubuh badannya kejang dan tidak boleh bergerak. Dia pun lemas ke dalam oasis tersebut.
Serta-merta Aisha berlari ke arah sahabatnya lalu berenang menarik tubuh badan Khadija dan diheretnya sampai ke tebing oasis. Dengan kudrat yang ada, Khadija menulis sesuatu di atas batu berhampiran iaitu ''Hari ini kawan saya selamatkan hidup saya.'' Aisha yang menampar dan menyelamatkan Khadija lalu bertanya, ''Kenapa selepas aku menampar kau, kau tulis di pasir? Dan kenapa bila aku selamatkan kau daripada lemas, kau tulis di atas batu?''
Khadija tersenyum mendengar kata-kata Aisha dan menjawab, ''Apabila kita disakiti, tulislah di atas pasir agar angin kemaafan boleh menghapuskannya. Tapi apabila seseorang melakukan kebaikan kepada kita, tulislah di atas batu agar ia kekal selamanya.''
No comments:
Post a Comment