Sunday, January 26, 2014

Ilmu Silat Yang Hebat

Seorang remaja bertemu seorang guru silat yang warak dan alim orangnya. Dia berkata, ''Tuan Guru, tolong ajarkan saya ilmu persilatan''. Tuan guru itu pun berkata, ''Boleh. Tapi syaratnya kamu harus turut perintahku segala-galanya''. ''Baiklah, saya turuti semua perintah tuan guru,'' kata kembali remaja itu. ''Sekarang juga. Kau pergi ke masjid dan di sana ada ribuan kitab-kitab lama.'' ''Tetapi saya berhajat belajar silat, bukannya belajar ilmu agama,'' bantahnya.

''Bukankah engkau sudah berjanji kepadaku supaya menuruti segala perintahku?'' ''Baiklah, baiklah.'' Maka, tinggallah remaja itu berbulan-bulan lama disitu. Kerjanya hanyalah menyelak helaian demi helaian. Habis satu kitab, diambil dan dibukanya kitab lain. Akhirnya, ribuan kitab telah disemaknya menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya.

Selepas enam bulan lamanya, dia berasa sungguh bosan. Dia masih tidak mendapat peluang belajar ilmu silat walau sedikitpun. Sedangkan kawan-kawannya yang lain kini sudah cekap menumbuk dan menendang. Dia masih terkial-kial menyemak helaian kitab-kitab saban hari.

Kemudian, dia berjumpa dengan tuan gurunya. ''Tuan guru, saya ingin berhenti. Tiada apa pun silat yang saya belajar. Saya ingin pulang.'' ''Tetapi tok sudah pun mengajar kamu silat.'' ''Mengajar? Silat apa? Jangankan menumbuk, pasang kuda-kuda pun saya tidak diajar. ''Pulanglah. Kamu akan faham apa yang tok maksudkan.''

Apabila dia pulang ke kampung, dia berasa berendah diri berbanding kawan-kawannya. Mereka semua sudah mahir belajar ilmu silat. Suatu hari, kawan-kawannya sedang berlatih bersilat di tapak gelanggang, tiba-tiba seorang daripada kawannya jatuh dan tergeliat kakinya. ''Aduh, kaki aku!'' jeritnya dalam kesakitan. Spontan dia memberanikan diri untuk mengurut kaki kawannya itu. Sebaik sahaja dia mula mengurut, tekanan ibu jarinya begitu kuat menyebabkan kaki kawannya melecet dengan teruk dan kakinya yang tergeliat itu terus bengkok seakan-akan patah.

''Aduh! Apa yang engkau buat ini? Sakit! Sakit!'' Dia terkejut. Barulah dia tahu bahawa ibu jarinya mempunyai kuasa yang luar biasa. Kekuatan yang menyamai besi. Rupa-rupanya itulah kekuatan daripada ilmu silat tuan gurunya yang dipindahkan kepada ibu jarinya sewaktu dia disuruh menyemak helaian demi helaian kitab tempoh bulan lalu.

Pengajaran: Ilmu yang tinggi diajar secara berhikmah umpama akar pokok yang bergerak perlahan tetapi dapat menembusi batu dan tanah yang keras. Guru yang ikhlas mengajar dengan rendah diri dan ikhlas kerana Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment