Sunday, January 26, 2014

Ilmu Silat Yang Hebat

Seorang remaja bertemu seorang guru silat yang warak dan alim orangnya. Dia berkata, ''Tuan Guru, tolong ajarkan saya ilmu persilatan''. Tuan guru itu pun berkata, ''Boleh. Tapi syaratnya kamu harus turut perintahku segala-galanya''. ''Baiklah, saya turuti semua perintah tuan guru,'' kata kembali remaja itu. ''Sekarang juga. Kau pergi ke masjid dan di sana ada ribuan kitab-kitab lama.'' ''Tetapi saya berhajat belajar silat, bukannya belajar ilmu agama,'' bantahnya.

''Bukankah engkau sudah berjanji kepadaku supaya menuruti segala perintahku?'' ''Baiklah, baiklah.'' Maka, tinggallah remaja itu berbulan-bulan lama disitu. Kerjanya hanyalah menyelak helaian demi helaian. Habis satu kitab, diambil dan dibukanya kitab lain. Akhirnya, ribuan kitab telah disemaknya menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya.

Selepas enam bulan lamanya, dia berasa sungguh bosan. Dia masih tidak mendapat peluang belajar ilmu silat walau sedikitpun. Sedangkan kawan-kawannya yang lain kini sudah cekap menumbuk dan menendang. Dia masih terkial-kial menyemak helaian kitab-kitab saban hari.

Kemudian, dia berjumpa dengan tuan gurunya. ''Tuan guru, saya ingin berhenti. Tiada apa pun silat yang saya belajar. Saya ingin pulang.'' ''Tetapi tok sudah pun mengajar kamu silat.'' ''Mengajar? Silat apa? Jangankan menumbuk, pasang kuda-kuda pun saya tidak diajar. ''Pulanglah. Kamu akan faham apa yang tok maksudkan.''

Apabila dia pulang ke kampung, dia berasa berendah diri berbanding kawan-kawannya. Mereka semua sudah mahir belajar ilmu silat. Suatu hari, kawan-kawannya sedang berlatih bersilat di tapak gelanggang, tiba-tiba seorang daripada kawannya jatuh dan tergeliat kakinya. ''Aduh, kaki aku!'' jeritnya dalam kesakitan. Spontan dia memberanikan diri untuk mengurut kaki kawannya itu. Sebaik sahaja dia mula mengurut, tekanan ibu jarinya begitu kuat menyebabkan kaki kawannya melecet dengan teruk dan kakinya yang tergeliat itu terus bengkok seakan-akan patah.

''Aduh! Apa yang engkau buat ini? Sakit! Sakit!'' Dia terkejut. Barulah dia tahu bahawa ibu jarinya mempunyai kuasa yang luar biasa. Kekuatan yang menyamai besi. Rupa-rupanya itulah kekuatan daripada ilmu silat tuan gurunya yang dipindahkan kepada ibu jarinya sewaktu dia disuruh menyemak helaian demi helaian kitab tempoh bulan lalu.

Pengajaran: Ilmu yang tinggi diajar secara berhikmah umpama akar pokok yang bergerak perlahan tetapi dapat menembusi batu dan tanah yang keras. Guru yang ikhlas mengajar dengan rendah diri dan ikhlas kerana Allah s.w.t.

Wednesday, January 15, 2014

Ubat Sakit Mata


Suatu hari Junaid Al Baghdadi telah diserang sakit mata. Lalu dia pergi berjumpa dengan tabib yang beragama Nasrani. Tabib itu pun menasihatinya supaya matanya jangan terkena air. Pada mulanya dia tidak keberatan mengamalkan nasihat tabib itu. Tetapi setelah sampai di rumah dia ingat bahawa setiap kali dia hendak solat mesti kena ada wuduk sedangkan wuduk itu mesti kena pada mukanya.


Dia yakin bahawa Allah yang menjadikan sesuatu penyakit, tentu Allah juga boleh menyembuhkan penyakitnya. Maka tanpa perasan syak dan ragu-ragu dia pun berwuduk dan membasahi mukanya. Selesai solat dia pun tertidur. Ketika sedang tidur, dia bermimpi mendengar satu suara yang aneh,'' Junaid menjadi sembuh matanya kerana lebih yakin dan redha kepadaKu. Seandainya semua penghuni neraka meminta kepadaKu dengan keyakinan serta semangat seperti Junaid, nescaya Aku perkenankan semua permintaan mereka,'' kata suara itu.

Bangun daripada tidur, dia berasa hairan kerana dia mendapati matanya telah sembuh sepenuhnya. Keesokan harinya, dia berjumpa kembali dengan si tabib itu. Ketika melihat Junaid, tabib itu merasa hairan bagaimana mata si Junaid boleh sembuh dengan cepat padahal penyakit itu mengambil masa yang agak lama untuk sembuh. Bertanya tabib kepada Junaid, ''Hai Junaid, mengapa matamu tiba-tiba sahaja jadi baik, sedangkan mengikut pengalamanku matamu ini akan mengambil masa yang lama untuk sembuh?''

Lalu Junaid menjawab, ''Aku hanya berwuduk dengan membasuh muka dan mataku untuk mendirikan solat.'' Setelah melihat peristiwa ajaib tersebut, terkejut tabib yang beragama Nasrani itu. Sungguh tidak disangka dengan berwuduk itu mampu menyembuhkan penyakit. Akhirnya dia menyatakan keinginannya untuk memeluk agama Islam dan mengucapkan dua kalimah syahadah. Katanya, ''Itu adalah ubat daripada Tuhan yang telah menciptakan penyakit. Dia yang memberikan penyakit dan Dia yang meciptakan ubatnya. Aku juga sebenarnya menderita satu penyakit hati iaitu rohani dan Junaidlah yang menjadi tabibnya.''
 

Batu dan Pasir


Di sebuah padang pasir yang panas terik kelihatan dua orang sahabat sedang berjalan. Aisha dan Khadija namanya. Mereka sedang rancak berbual. Itu dan ini. Entah apa yang dibualkan oleh mereka itu.Apabila matahari semakin terik memancarkan sinarnya, tekak mereka pun hampir kering serta haus dan letih.Namun,
dibiarkannya begitu sahaja sehingga bertemu dengan kawasan takungan air kerana mereka sudah kehabisan bekalan air.


Mungkin kerana terlalu penat, perbualan mereka pun mula menyakitkan hati masing-masing. Tiba-tiba, Aisha menampar Khadija kerana terlalu geram dan marah. Langkah positf diambil Khadija mendiamkan dirinya sahaja dan berjalan beriringan tanpa berkata sepatah pun. Tanpa disedari Aisha, Khadija duduk dan menulis sesuatu di atas pasir iaitu ''Hari ini kawan saya telah menampar saya.''

Kemudian, mereka pun meneruskan perjalanan sehingga melalui kawasan oasis. Di situ mereka mengambil keputusan untuk berehat seketika sambil minum dan menyejukkan badan mereka yang letih itu. Khadija yang letih itupun terjun ke oasis untuk mandi, namun tidak pula Aisha yang lebih senang berehat di tebing sambil memerhatikan suasana alam ciptaan Tuhan. Tiba-tiba Khadija menjerit-jerit kerana tubuh badannya kejang dan tidak boleh bergerak. Dia pun lemas ke dalam oasis tersebut.

Serta-merta Aisha berlari ke arah sahabatnya lalu berenang menarik tubuh badan Khadija dan diheretnya sampai ke tebing oasis. Dengan kudrat yang ada, Khadija menulis sesuatu di atas batu berhampiran iaitu ''Hari ini kawan saya selamatkan hidup saya.'' Aisha yang menampar dan menyelamatkan Khadija lalu bertanya, ''Kenapa selepas aku menampar kau, kau tulis di pasir? Dan kenapa bila aku selamatkan kau daripada lemas, kau tulis di atas batu?''

Khadija tersenyum mendengar kata-kata Aisha dan menjawab, ''Apabila kita disakiti, tulislah di atas pasir agar angin kemaafan boleh menghapuskannya. Tapi apabila seseorang melakukan kebaikan kepada kita, tulislah di atas batu agar ia kekal selamanya.''

 

Persoalan Fekah Wanita (Isu Kekeluargaan)

Assalamualaikum w.b.t.. Apakah yang anda tahu tentang perkara - perkara yang berkaitan dengan fekah? Segelintir umat Islam di Malaysia hanya memikirkan bahawa bab Fekah ini merupakan solat, puasa, zakat dan lain- lain ataupun yang berkaitan dengan ibadat sahaja.  Kita jangan menyempitkan pemikiran kita sebegini. Sebenarnya skop perbincangan bab Fekah sangatlah luas dengan sehinggakan beratus - ratus ulamak menulis buku tentang bab ini. Ada bab fiqh munakahat, fiqh muamalat, fiqh solat dan sebagainya. Tetapi saya ingin menyentuh dalam bab Fiqh Kekeluargaan sahaja. Apa yang anda tahu tentangnya? Perkara tentang suami isteri, anak - anak dan sebagainya. Akan tetapi, sesetengah manusia malu ingin bertanya tentang bab ini kepada yang lebih arif tentang hal tersebut seperti yang kita sedia maklum mestilah golongan Agamawan (ustaz dan ustazah). Takkan kita nak tanya orang yang bukan ahlinya. Betul tak? Jadi, persoalan yang saya ingin kupaskan ini boleh dijadikan rujukan untuk umat Islam di luar sana itu yang masih dahagakan ilmu agama. InsyaAllah.

Soalan 1: Bolehkah seorang wanita berkahwin dengan lelaki yang berlainan mazhab?
Jawapan:  Boleh, pengikut mazhab Syafie boleh berkahwin dengan mana mana mazhab yang diiktiraf sahaja.

Soalan 2 : Apakah adab-adab yang perlu dilakukan oleh sepasang suami isteri semasa bersetubuh?
Jawapan : Mulakan dengan bermesra, berkata - kata manis dan melakukan perkara-perkara berahi antara suami dan isteri. Kemudian bacalah doa sebelum bersetubuh.

Soalan 3 : Apakah sekurang-kurangnya nafkah zahir seperti pakaian, tempat tinggal dan sebagainya yang wajib diberi oleh suami setiap tahun?
Jawapan : Nafkah zahir yang wajib adalah sekadar keperluan dan mengikut kemampuan.

Soalan 4 : Adakah dibenarkan dalam Islam seorang isteri bekerja sedangkan suami mengambil alih tugas rumah tangga?
Jawapan : Boleh sekiranya diizinkan suami dan kerja itu tidak bercanggah dengan syariat Islam. Perlu fahami ketua keluarga adalah suami bukan isteri.

Soalan 5 : Adakah wajib seorang isteri itu memasak untuk keluarganya?
Jawapan : Memasak bagi isteri hukumnya harus sahaja. Ia adalah khidmat seorang isteri kepada ahli keluarga. Sekiranya seorang isteri melakukan dengan ikhlas ia mendatangkan pahala. Ia juga adalah sebahagian daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebahagian rumah tangga. Tambahan pula jikalau ia permintaan dari suami, maka aktiviti ini sangat digalakkan.

Soalan 6 : Adakah seorang isteri wajib taat kepada suaminya dalam semua perkara?
Jawapan : Hukumya wajib selagi tidak melanggar syariat Islam serta membawa kemudharatan kepada si isteri.

Soalan 7 : Adakah wajib seorang wanita yang telah bersuami menjaga ibubapanya yang sudah tua?
Jawapan : Hukumnya harus dan perlu izin suaminya.

Soalan 8 : Apakah hukum membaca al-Quran atau doa-doa tertentu bagi tujuan memikat hati suami?
Jawapan : Hukumnya harus demi kebahagian rumah tangga.

Soalan 9 : Apakah hukum seorang wanita menggunakan ilmu pengasih bagi menundukkan suaminya?
Jawapan : Hukumnya haram dengan niat sebagai queen qontrol supaya suam mengikut segala kehendaknya.

Soalan 10 : Adakah seorang wanita dikatakan menceroboh apabila dia masuk ke bilik yang dikhaskan untuk suaminya membuat kerja-kerja peribadinya tanpa izin suaminya?
Jawapan : Tidak, tetapi sebaiknya ketuk pintu dahulu dan minta izin suaminya.

Soalan 11: Adakah boleh wanita yang bekerja menggunakan wangnya bagi membeli makanan untuk anak-anak dan suaminya?
Jawapan: Hukumnya harus dan dibolehkan.

Soalan 12: Apakah hukum seorang wanita menghiburkan suaminya melalui muzik?
Jawapan: Ia diharuskan.

Soalan 13 : Apakah hukum seorang wanita menuntut harta sepencarian dari bekas suaminya? Apakah syarat-syarat yang terlibat dalam masalah ini?
Jawapan : Boleh menuntut harta sepencarian dari bekas suaminya itu dan dia perlu menuntut di mahkamah Syariah dengan membawa bukti-bukti bagaimana harta itu diperolehi.

Soalan 14 : Seorang wanita bukan Islam bercerai dengan suaminya kerana hendak berkahwin dengan lelaki Islam. Adakah wanita itu mempunyai iddah dan perlu menunggu hingga habis iddah sebelum boleh bernikah dengan suami barunya secara Islam?
Jawapan : Ya, wanita itu perlu menunggu hingga habis iddahnya seperti wanita Islam yang lain yang diceraikan iaitu selama tiga kali suci rahimnya sekiranya dia pernah bersetubuh oleh suami yang asal.

Rujukan:501 Persoalan Fikah Wanita, Zawiyah Hassan dan Rohaya Bakri.