Sunday, December 6, 2015

Menara Galata

Pendahuluan dan Sejarah Pembinaannya

Inilah Menara Galata atau Galata Külesi dalam bahasa Turkinya yang terletak di utara Golden Horn, di bahagian Eropah yang menyimpan 1001 sejarah pahit manis daripada mula pembinaannya sehinggalah ia dibuka untuk pelawat bagi kunjungan dari serata dunia dan menjadi mercu tanda bersejarah di Turki. Ia adalah sebuah menara batu paling tinggi di Kota Konstantine pada masa itu semasa pemerintahan Maharaja Byzantine Rom Timur yang dibina oleh Genoese mengikut Romanesque stail pada tahun 1348 atau abad ke 14. Tetapi tiada tarikh yang tepat pada tahun bilakah menara ini dibina. Walaupun tiada tarikh yang tepat bilakah ia dibina, ahli sejarawan mendakwa bahawa ia dibina pada tahun 507 pada zaman pemerintahan Maharaja Rom. Sebenarnya Menara Galata ini merupakan menara kedua yang dibina oleh Genoese yang terletak di Karaköy, Istanbul yang diberi gelaran iaitu Tower of Christ, Tower of Jesus atau Menara Kristus. Menara Galata yang pertama dibina oleh Megalos Pyrgos tetapi dibina di lokasi yang berbeza iaitu lebih dekat dengan laluan laut Selat Bosphorus. Akan tetapi, ia musnah semasa peperangan Sack of Cosntantinople oleh tentera Salib Latin semasa Perang Salib yang keempat pada tahun 1202-1204. Ia diberi gelaran Great Tower atau Menara Yang Hebat. Maksud Galata adalah berasal daripada perkataan Greek atau Yunani yang membawa maksud susu. Ia disebabkan di kawasan daerah menara tersebut terdapat banyak tenusu yang ada disitu. Tetapi, tidak ada bukti atau sejarah yang tepat mengenai nama tersebut. Mneurut sumber lain, ia datang daripada perkataan Itali iaitu 'Calata' atau jalan turun ke laut. Mungkin kerana menara ini dibina di kawasan cerun di antara kawasan pantai Haliç dan Turyol.


Fungsi

Setelah menara yang berukuran 219½ atau 66.9 meter ini telah siap dibina, ia digunakan untuk mengawasi pelabuhan di Kota Konstantine melalui tingkat atas menara tersebut bagi mengawasi setiap aktiviti keluar masuk kapal-kapal berlabuh di pelabuhan melalui pintu masuk Golden Horn. Selain daripada itu, menara ini berfungsi sebagai menara kawalan tinjau untuk mempertahankan kota bagi serangan musuh dari luar kota Konstantine yang ingin menceroboh masuk di dalam kota. Setelah kota Konstantine jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fatih semasa peristiwa penaklukan Konstantine, menara tersebut telah menjadi hak milik sepenuhnya oleh empayar Othmaniah.


Zaman Othmaniah


Semasa pemerintahan kerajaan Othmaniah, menara ini telah mengalami beberapa pengubahsuaian bagi mengukuhkan lagi keadaan menara tersebut. Pada tahun 1509, menara ini telah mengalami kerosakan yang teruk semasa kejadian gempa bumi berlaku dan telah dibaiki dan diperbaharui semula oleh Hayrettin, seorang arkitek yang sangat terkenal pada zaman Othmaniah. Menara ini juga digunakan sebagai dek pemerhatian atau menara kawalan bagi mengawasi aktiviti kebakaran yang berlaku di Kota Islambol(nama lama Istanbul) pada masa itu. Semasa Sultan Sulaiman al-Qonuni memerintah pada tahun 1520 sehinggalah 1566, ia telah digunakan sebagai penjara bagi banduan yang dijatuhkan hukuman bekerja di Kasimpaşa Naval Dockyard. Takıyeddin Efendi telah menubuhkan sebuah balai cerap di puncak menara pada akhir abad ke 16 dan berfungsi dalam masa tempoh tertentu sahaja. Kemudian, ia telah ditutup sementara dan dibuka semula Sultan Murad III yang memerintah dari tahun 1574 sehinggalah 1595 untuk dijadikan penjara sekali lagi oleh beliau.



Kisah Hezârfen Ahmet Çelebi

Pada abad ke 17, beliau merupakan orang Turki yang pertama melaksanakan penerbangan dengan mengambil konsep kepak burung untuk dijadikan sayap dan mengkaji kelajuan aliran angin untuk terbang dengan menggunakan sayap. Beliau terjun dari tingkat atas menara dan terbang merentasi laluan Selat Bosphorus sehinggalah mendarat di dataran Üsküdar yang terletak di bahagian Asia sepanjang 6 kilometer jarak jauhnya. Rentetan daripada peristiwa tersebut, orang ramai teruja dengan kejayaan Ahmet Çelebi ini termasuklah Sultan Murad IV  sendiri. Akan tetapi, perasaan hasad dengki dan cemburu itu sentiasa mendiami di dalam hati manusia. Para pembesar telah menghasut Sultan Murad IV  dengan mengatakan bahawa Ahmet Çelebi seorang lelaki yang menakutkan. Beliau mampu melakukan apa-apa untuk menggugatkan kekuasaan Sultan Murad IV. Jadi, beliau diberikan seguni syiling dinar emas dan dihalau keluar dari bumi İstanbul. Beliau telah membawa diri ke Algeria dan mengakhiri riwayatnya di sana. Menurut sumber lain, beliau membawa diri ke Syria dan mati di sana.



Kecelakaan Yang Dahsyat


Pada tahun 1794 pada zaman pemerintahan Sultan Selim III, bumbung menara telah dibina daripada kayu dan timah  tersebut sekali musnah dalam kebakaran. Dan sekali lagi, menara tersebut telah mengalami kebakaran setelah selesai kerja-kerja pemulihan berlaku pada tahun 1831. Selepas kejadian yang menimpa menara Galata, Sultan Mahmut II telah menambah dua tingkat pada menara itu dan ditutup dengan kain dalam bentuk topi kon

Kuasa Allah s.w.t. menguasai segala-galanya. Ujian yang hebat menimpa bagi masyarakat setempat di situ. Tahun 1875, kejadian cuaca ribut yang sangat dahsyat telah berlaku dan memusnahkan bumbung menara tersebut. Oleh kerana sering mengalami kerosakan pada bumbung menara, ia tidak diletakkan lagi bumbung menara yang berbentuk kon untuk sepanjang zaman.





Melangkaui Zaman

Empayar Othmaniah telah berakhir pada 3 Mac 1924 yang mana suatu ketika dahulu pernah mejadi tempat rujukan umat Islam di dunia dan menaungi 2/3 dunia telah digantikan kerajaan republik yang diasaskan oleh Mustafa Kemal Paşa atau dikenali sebagai Atatürk, Bapa Kemerdekaan Turki menurut rakyatnya. Kerajaan yang diasaskan bermula daripada zaman Rasulullah s.a.w. sehingga kerajaan Othmaniah telah telah jatuh angkara musuh-musuh yang sentiasa membenci Islam sejak dahula kala lagi sejak 1400 tahun dahulu. Semasa diambang era kekalahan Othmaniah, menara Galata pernah menjadi pos kawalan oleh tentera British setelah Perang Dunia Pertama berlaku.


Menara Galata telah mengalami kerja-kerja pengubahsaian yang dilakukan oleh syarikat swasta setelah sekian lama ia tidak dibaiki pada tahun 1965-1967 dan bentuk kon diatas menara dikembalikan semula pada bentuk asalnya dan dibuka untuk orang ramai selepas berakhirnya kerja pemulihan pada tahun 2013. Menara ini menempatkan kafeteria, kelab malam tertutup, dapur dan sebagainya. Di atas menara anda boleh melihat keindahan dan panorama di sekitar kota Istanbul serta keindahan laluan Selat Bosphorus. Anda tidak perlu risau dan khuatir jika tidak larat untuk menaiki tangga menara ini kerana ada lif yang telah disediakan untuk memudahkan orang ramai menaikinya. Tetapi lif hanyalah sampai di tingkat tujuh sahaja dan dua tingkat terakhir menara itu anda perlu melalui tangga yang disediakan untuk sampai ke puncak atas menara tersebut.


Pemandangan Menara Galata di tengah kepesatan bangunan sekarang boleh
dilihat dari atas jambatan Galata atau Galata Köprüsü dalam bahasa Turki


Sumber:

1. Lost Islamic History
2. History of Istanbul 
3. Wikipedia
4. Turkey For You
5. Great Istanbul

No comments:

Post a Comment