Monday, September 7, 2015

Ambil Menyesal, Tidak Ambil Juga Menyesal

Dikisahkan pada suatu hari, nabi Khaidir a.s telah mengumpulkan para pengikutnya untuk melakukan satu perjalanan yang agak panjang dalam sebuah gua. Sebelum melakukan perjalanan itu, baginda telah berpesan kepada para pengikutnya, mereka boleh mengambil apa saja yang ada dalam gua itu atau boleh juga tidak mengambilnya.

Namun, baginda dengan tegas mengingatkan kepada pengikutnya, mereka akan berasa menyesal sama ada mengambilnya mahupun tidak mengambilnya. Para pengikut nabi Khaidir menjadi bingung, hairan dan bertanya kepada nabi Khaidir apakah makna di sebalik peringatan itu. Namun ujar baginda, ''Nanti kamu akan tahu selepas kita keluar dari gua tersebut.''

Sampainya mereka di pintu gua, sekali lagi baginda mengingatkan pengikutnya apa yang telah dipesannya  sebelum ini. Maka mereka pun meneruskan perjalanan dalam gua yang gelap itu sehingga sampai ke penghujung gua. Selepas keluar dari mulut gua, segera nabi Khaidir berteriak, ''Sesiapa yang telah mengambil apa-apa sahaja dalam gua, sila tunjukkan kepadaku''.

Sebahagian pengikut yang telah mengambil sesuatu di dalam gua, merasakan mereka hanya mengambil batu-batu kerikil kecil dari gua sahaja. Tetapi rupanya apa yang diambil oleh mereka adalah emas. Terkejut mereka dan mereka merasa kecewa sekali kerana tidak mengambil lebih banyak.

Sementara itu, sebahagian lagi para pengikut yang tidak mengambil sesuatu pun ketika melalui laluan gua itu bertambah kecewa. Apatah lagi melihat rakan mereka yang lain mempunyai emas. Sesudah itu, maka bersuaralah nabi Khaidir, ''Bahawa kelak semua umat manusia di muka bumi ini akan menyesal, baik mereka beriman mahupun yang tidak beriman kepada Allah s.w.t.''.

Lantaran rasa pelik, pengikut nabi Khaidir bersuara, ''Apa maksudmu wahai nabi Allah?'' Jawab nabi Khaidir, ''Hal ini kerana bagi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah, semuanya merasakan sangat berkurang amal-amal kebaikan yang telah dilakukannya di dunia ini, baik itu amal ibadah atau amal kebaikan lain yang telah dibuat selama di dunia ini. 

Sedangkan bagi orang yang tidak beriman, mereka bertambah-tambah lagi menyesal kerana selama mana mereka hidup , penglihatan, pendengaran akal serta ilmu yang dimilikinya tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t., beriman dan taat kepada Allah. Maka samalah kamu dengan golongan seperti ini.''

No comments:

Post a Comment