Wednesday, May 8, 2013

Jiran Penentu Nilai Diri Kita

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Hari ini kita sebagai rakyat Malaysia sangat bertuah kerana dapat tinggal di negara yang aman damai dan sejahtera. Negara kita mempunyai ramai bilangan penduduk seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Sikh dan lain-lain lagi.

Kepelbagaian kaum atau bangsa di negara kita ini dapat menyemarakkan lagi perpaduan di kalangan kita sebagai rakyat Malaysia. Selain itu, kita juga berjiran dengan mereka dengan tinggal di sebelah rumah ataupun berdekatan dengan kita. Jiran memainkan peranan yang sangat penting kepada kita. Apabila berlaku kecemasan atau kesusahan, mereka boleh tolong kita dengan seadanya kerana mereka merupakan orang yang terdekat di kalangan kita. Contohnya, jikalau rumah kita terbakar, kecurian mahupun perkara-perkara yang memudaratkan, sudah pasti kita meminta pertolongan daripada mereka. Di sini, ada beberapa tip bagi menjadikan jiran kita sebagai sudara terdekat iaitu,


  1. Kita perlu mengucapkan salam setiap kali bertemu atau berselisih dengan mereka dan bermanis muka. Bagi bukan Islam, sapalah mereka dengan bertanya khabar.
  2. Hendaklah mencari ruang untuk berbual dengan mereka tentang apa-apa sahaja asalkan tiada perkara yang boleh mengguriskan hati mereka.
  3. Mengajak mereka datang ke rumah kita dan sebaliknya.
  4. Memberikan makanan ataupun kuih.
  5. Memberikan hadiah kepada mereka.
  6. Mencari peluang bagi membantu jiran kita sedaya upaya tatkala senang atau susah. Semoga Allah membalas perbuatan kita ini.
  7. Bersikap lemah lembut dengan mereka.
  8. Mengucapkan tahniah atas kejayaan jiran kita dan takziah jika menimpa mereka.
  9. Menjaga harta benda mereka tatkala mereka meniggalkan rumah.
  10. Sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka.
Selaras dengan perintah Rasulullah s.a.w. di dalam hadisnya:-

''Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Kiamat,  jangan dia menyakiti tetangganya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Kiamat, dia perlu memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Kiamat, hendaklah berkata baik ataupun diam.'' Direkodkan oleh Muslim.

Jadi, marilah kita menjaga adab dengan jiran kita selaras dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w..Sesungguhnya Orang Islam Itu Bersaudara.

No comments:

Post a Comment