Keris merupakan senjata pendek yang dipakai oleh pendekar atau pahlawan Melayu pada zaman dahulu kala. Ia juga merupakan senjata kebanggaan orang Melayu pada zaman dahulu kala serta penduduk di kepulauan sekitarnya seperti Pulau Jawa, Pattani, Filipina dan lain-lain. Boleh dikatakan setiap pahlawan atau pendekar Melayu pada zaman itu mesti mempunyai sebilah keris yang senantiasa disisipkan di pinggang atau memegangnya ke mana-mana sahaja untuk mempertahankan diri mereka apabila diserang oleh musuh.
Kajian mendapati keris berasal daripada Kerajaan Majapahit. Setelah Kerajaan Majapahit kalah, maka bertebaranlah tukang pembuat keris keseluruh tanah Jawa termasuk tanah Melayu pada masa itu. Terdapat beberapa jenis keris iaitu keris Jawa, keris Semenanjung, keris Bugis, keris Sumatera, keris Patani, keris Bali, keris Picit dan pelbagai lagi.
Pelbagai rupa dan bentuk keris seperti ada yang berlok, ada yang bilahnya lurus, ada yang bengkok dan sebagainya. Begitu juga dengan hulu keris dengan namanya tersendiri seperti Tanjung Pekaka, Tapak Kuda, Jawa Demam, Burung Kakak Tua, Burung Serindit dan sebagainya. Banyak ilmu yang mesti dipelajari jika ingin menempa sebilah keris. Tidak lupa juga pantang larangnya semasa menempa keris.
Selain itu, bahan asas untuk membuat keris terdiri daripada banyak jenis besi iaitu besi Waja, besi Tawar, besi Melela dan diikat kemas sebelum dibakar menjadi logam dan barulah ia ditempa mengikut citarasa orang yang ingin memiliki keris tersebut.
Jadi,marilah kita memelihara warisan bangsa Melayu yang semakin hilang ditelan zaman. Anak-anak muda seharusnya bersungguh-sungguh mempertahankan khazanah warisan yang cukup bernilai ini.