Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada anda semua. Apakah anda semua hari ini sihat? Kalau sihat, ucaplah Alhamdulillah. Kalau mendapat rezeki yang bertambah, ucaplah Alhamdulillah. Kalau mendapat kenaikan pangkat, ucaplah Alhamdulillah kerana Allah telah melindungi kita daripada pelbagai penyakit yang memudharatkan, memberikan kita rezeki yang banyak dalam bentuk bermanfaat kepada kita seperti isteri yang solehah, suami yang soleh, anak - anak yang taat kepada agamanya dan menambah apa yang kurang dalam kehidupan kita. Itulah antara bentuk - bentuk kesenangan yang Allah s.w.t. berikan kepada kita semua. Semoga Allah memberi apa yang terbaik untuk kita dan seluruh umat Islam khususnya. Amin.
Bagaimana pula kalau Allah s.w.t. memberi musibah kepada kita walaupun sesaat? Susah kan? Terasa gila dibuatnya. Tetapi, jangan risau kerana Allah s.w.t. tidak membebani seseorang dengan ujian yang berat melainkan dengan kesanggupannya. Contoh, cuba kita hayati kisah ini, '' Ada seorang ibu yang mempunyai kmatian anaknya akibat terbunuh dalam mempertahankan agamanya yang suci. Semasa segala proses memandikan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah anaknya, si ibu itu langsung tidak menangisi pemergian anaknya itu. Orang ramai yang hadir pada ketika itu pun pelik. Salah seorang tetamu tersebut bertanya pada si ibu itu, 'Puan, kenapa tidak sedih atas kematian anak puan? Si ibu itu pun memandang kembali dengan raut wajahnya yang tenang dan yakin menjawab, ' Saya redha dan bangga atas pemergian anak saya ini kerana anak saya mendapat gelaran syahid demi mempertahankan agama yang suci ini iaitu Islam. Jadi, syurgalah tempatnya. Tetamu itu pun tergamam. Lihat, Allah s.w.t. memberi ujian atau musibah kepada seseorang itu mengikut kesanggupan.
Tahukah anda? Meninggalkan solat itu merupakan satu musibah yang besar dalam hidup kita. Kenapa? Yang pertama sekali, sudah sedia maklum yang meninggalkan solat adalah berdosa besar. Berdosa woo!! Satu kali kita meninggalkan solat, putus rahmat kita dengan Allah s.w.t. Kedua, kalau anda perasan jikalau kita meninggalkan solat, kita rasa macam ada sesuatu yang kurang dalam hidup kita. Apakah ia? Mungkin sesetengah orang menjadi pemarah atau panas baran. Keluarga yang sentiasa mempunyai masalah yang berlarutan. Rezeki yang tidak bertambah - tambah walaupun bekerja bagai bersabung nyawa dan lain - lain lagi. Itu baru meninggalkan solat. Belum sentuh bab puasa, zakat, menutup aurat dan sebagainya.
Sebagaimana sedia maklum, saya berpesan kepada diri saya dan anda semua. Jangan putus rahmat dengan Allah s.w.t. dan jangan melanggar suruhannya. Marilah kita menghayati serta mempelajari ajaran yang dibawa oleh Kekasih Allah Yang Mulia iaitu Rasulullah s.a.w. Tidak syak lagi, beliau layak menjadi model kita dalam kehidupan seharian. Sebenarnya ingin saya sentuh dalam hal ini, pernahkah anda lihat atau baca tentang sejarah hidup Rasulullah s.a.w.? Tidak pernah dalam hidup Rasulullah s.a.w. mengalami perkara - perkara yang buruk. Semanya baik belaka. Rahsianya adalah solat yang penuh lima waktu sehari semalam. Para sahabat pula tidak pula kurang hebatnya. Tidak pernah meninggalkan solat mahupun solat malam (qiamullail). Berjemaah pula itu. Pada pendapat saya, itulah zaman terbaik. Sentiasa bersolat bersama - sama. Makan bersama - sama. Berperang pun bersama - sama. Kesannya, kesenangan yang Allah berikan kepada mereka melimpah ruah. Doa yang makbul. Rezeki yang bertambah banyak. Anak - anak yang ramai serta taat pada suruhan agamanya dan lain - lain. Sebenarnya itulah yang kita sebagai masyarakat sekarang mahukan.
Tetapi hakikatnya hari ini..
Anda lihatlah dengan mata kepala dan hati nurani. Pada zaman sekarang ini, semua benda boleh berlaku menyebabkan diri sendiri yang merana dan sengsara. Ingatlah, sentiasa berdoa kepada Allah dijauhkan daripada perkara - perkara yang tidak diingini dan diminta kesenangan yang berpanjangan daripada Tuhan yang Maha Esa. Bersabar dalam setiap ujian yang melanda akan dikurniakan kesenangan yang berpanjangan, InsyaAllah. Jadi, jika anda mahu kesenangan sepanjang dalam kehidupan kita, ikuti perintah Allah s.w.t. dalam Al Quran dan mempelajari ajaran - ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Selain itu, saya mencadangkan kepada anda semua supaya meminta nasihat kepada orang lebih alim dalam hal ini kerana mereka lebih mengetahui daripada kita. Dengan menjadikan mereka sebagai pakar nasihat atau kaunselor kita untuk memperbaiki kecacatan dalam kehidupan. Pada zaman sekarang ini, zaman anak - anak muda yang celik IT atau dikenali sebagai generasi Y mudah sahaja hendak mendapatkan ilmu, info - info yang berkaitan dengan isu semasa serta nasihat pakar. Di surat khabar, televisyen, radio, Internet atau di mana - mana sahaja. Itu pun kesenangan yang Allah berikan kepada kita. Cuma usahalah yang menjadikan penentu segalanya.
Cuba anda renung dan lihat orang - orang pada zaman dahulu, mereka begitu bersusah payah hendak mendapatkan secebis ilmu. Merantau jauh ke negara orang untuk mencelikkan hati mereka semata - mata kerana ilmu. Kadang - kadang tidak terkecuali mendapat musibah yang melanda pada diri mereka sendiri seperti diuji ilmunya hilang terus daripada ingatan, diuji kewangan yang sempit bagi meneruskan pembelajaran dan sebagainya. Tetapi mereka sabar dalam ujian tersebut. Nak cerita bab sabar ini, bukan semua orang yang ada sifat sebegini. Walaupun kita tahu dan belajar serta mendalami bab sabar, tetapi bukan semua orang boleh mempraktikkannya. Kita boleh sebenarnya cuma langkah demi langkah yang perlahan. InsyaAllah, semua orang boleh.
Oleh itu, marilah kita menjadi umat yang bersabar dan bersyukur dengan kurniaan Allah s.w.t. dalam bentuk apa - apa jenis kesenangan. Kita semua boleh. Boleh seboleh - bolehnya....
No comments:
Post a Comment